LUSAIL, Qatar: Richarlison meledak dua gol untuk membantu Brazil mengatasi Serbia 2-0 dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail sebentar tadi.

Penyerang Tottenham Hotspur itu sentiasa menampilkan persembahan terbaik apabila menyarung jersi Brazil dan dia membuka jaringan dengan tolakan mudah sebelum jaringan akrobatik untuk gol kedua.

Keputusan pengendali Brazil, Tite untuk menurunkan empat penyerang Neymar, Vinicius Jr, Raphinha dan Richarlison membuahkan hasil buat Brazil yang kini mendahului Kumpulan G.

Babak pertama berakhir tanpa jaringan, namun sebaik babak kedua bermula, Brazil menggandakan asakan ke kubu Serbia dan hasilnya mereka mendapat gol pertama pada minit ke-62.

Gol itu hadir selepas hantaran Neymar menemui Vinicius, namun percubaannya ditampan Vanja Milinkovic Savic sebelum Richarlison membuat tindakan susulan untuk gol Piala Dunia pertamanya.

Richarlison menggamatkan stadium apabila menyempurnakan hantaran Vinicius dengan jaringan akrobatik pada minit ke-74.

Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat untuk meletakkan Brazil sebagai pendahulu Kumpulan G setakat ini- AGENSI

The post Brazil benam cabaran Serbia 2-0 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *