DOHA :  Brazil tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pentas suku akhir Piala Dunia 2022 selepas mudah membenam cabaran Korea Selatan, 4-1 di Stadium 974, sebentar tadi.

Diletakkan sebagai pasukan pilihan pada kejohanan kali ini, skuad bimbingan Tite berada didepan seawal minit ke tujuh hasil jaringan bintang muda Real Madrid, Jose Vinicius Junior.

Selang enam minit kemudian, Neymar yang direhatkan pada perlawanan terakhir berdepan Cameroon pada aksi terakhir peringkat Kumpulan G menggandakan jaringan buat Brazil hasil sepakan penalti.

Gol tersebut terus menyuntik pemain Brazil yang terus melakukan serangan hingga memaksa Korea Selatan terpaksa berkampung dilaman sendiri untuk menghalang tambahan jaringan gol.

Richarlison yang diibaratkan duri dalam daging buat pertahanan Korea Selatan turut meletakkan mana sebagai penjaring ketiga pada minit ke-29 sebelum Paqueta memastikan Brazil selesa dengan empat gol tanpa balas tujuh minit kemudian untuk aksi babak pertama.

Memasuki babak kedua, corak permainan berbeza dipamerkan Korea Selatan dengan percubaan Heung-Min Son yang hampir menewaskan penjaga gol Brazil, Alison Becker.

Usaha keras dan beberapa pertukaran yang dibuat Korea Selatan memperlihatkan kesan apabila Seung-Ho Paik  yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol buat pasukan pada minit ke-76.

Walaupun Korea Selatan cuba menambahkan jaringan gol menerusi beberapa serangan namun kekentalan benteng Brazil memastikan keputusan 4-1 itu kekal sehinggalah tamat masa perlawanan.

Kemenangan ini memastikan mereka akan menentang Croatia di pentas suku akhir setelah menewaskan Jepun, 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan dan juga masa tambahan. -AGENSI.

 

 

 

The post Brazil gah ke pentas suku akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *