DOHA: Brazil tersingkir daripada Piala Dunia 2022 di peringkat suku akhir selepas tewas 4-2 kepada Croatia dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Education City sebentar tadi.

Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic sekali lagi muncul wira apabila berjaya menyelamatkan satu penalti penalti yang diambil Rodrygo manakala, sepakan Marquinhos terkena tiang.

Sementara Nikola Vlasic, Lovro Majer, Luka Modric, dan Mislav Orsic tenang menyempurnakan tugasan masing-masing untuk meletakkan bola ke dalam jaring menewaskan Alisson Becker.

Kemenangan Croatia itu menyaksikan mereka layak dua kali berturut-turut ke peringkat separuh akhir Piala Dunia dengan edisi 2018 mereka bergelar naib juara selepas tewas kepada Perancis.

Terdahulu, dalam masa penuh permainan, kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas serangan bertali arus skuad kendalian Tite berjaya dipatahkan Croatia yang dilihat lebih banyak bertahan.

Pada separuh masa pertama, Brazil lebih banyak mendominasi permainan dengan melakukan lima percubaan dengan tiga daripadanya merupakan percubaan tepat.

Sementara Croatia pula gagal melakukan sebarang percubaan tepat dengan penjaga gol Brazil, Alisson Becker lebih banyak berehat berbanding Dominik Livakovic.

Skrip sama berulang pada separuh masa kedua apabila Brazil mempamerkan penguasaan mereka namun, kekentalan barisan pertahanan Croatia menghampakan mereka.

Peluang terbaik skuad kendalian Tite hadir menerusi Neymar pada minit ke-55 namun, percubaannya berjaya dihalang dengan cemerlang oleh Livakovic.

Pada minit ke-66, Livakovic sekali bertindak cemerlang apabila berjaya menyelamatkan percubaan jarak dekat Lucas Paqueta selepas menerima bola yang terbias di dalam kotak penalti Croatia.

Pada minit ke-79, percubaan Paqueta yang menerima hantaran daripada Neymar dari dalam kotak penalti sekali lagi dinafikan Livakovic yang jelas beraksi cemerlang di pintu gol Croatia.

Dengan Croatia yang lebih banyak bertahan, serangan bertali arus Brazil gagal menghasilkan gol dan keputusan 0-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikann untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

Gol yang dicari-cari Brazil akhirnya terhasil menerusi Neymar pada minit ke-106 selepas beliau melakukan hantaran satu dua bersama Pedro di dalam kotak penalti sebelum menewaskan Livakovic.

Gol jaringan Neymar itu juga menyaksikan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu kini meledak 77 gol buat Brazil di pentas antarabangsa dan menyamai rekod penyerang legenda mereka Pele.

Bagaimanapun, pesta Brazil tidak berpanjangan apabila Croatia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Bruno Petkovic pada minit ke-117 untuk mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti.

Dengan kemenangan 4-2 dalam penentuan sepakan penalti, Croatia akan menunggu pemenang antara Belanda dan Argentina yang akan berlangsung pada pukul 3 pagi nanti-Agensi

The post Brazil tersingkir, Croatia mara ke separuh akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *