KUALA LUMPUR: Pemain paling berpengalaman dalam skuad kebangsaan, Brendan Gan tidak kisah jika dia terpaksa bermain di luar posisi kebiasaannya selagi percaturan itu memberi kelebihan kepada Harimau Malaya.

Kapten Selangor itu diminta pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan Gon untuk bermain di posisi bek tengah dalam aksi menentang Laos yang menyaksikan Malaysia membelasah lawan mereka itu 5-0 dalam pertemuan kedua Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

“Seperti yang saya cakap semalam (kelmarin), jika itu posisi yang jurulatih mahu saya bermain, maka, saya perlu bersikap yakin untuk beraksi di posisi berkenaan.

“Memandangkan jurulatih minta saya bermain di posisi bek tengah, jadi, sy perlu lakukan tugas saya itu,” kata pemain tengah itu  selepas perlawanan berakhir di sini, semalam.

Menurut Brendan, Harimau Malaya memiliki kualiti dalam skuad dan dia yakin semua pemain bersedia untuk beraksi di mana-mana posisi pun jika itu kehendak Pan Gon.

Mengulas pula mengenai perlawanan menentang Vietnam, Selasa ini di laman lawan, pemain berusia 34 tahun itu berkata, Vietnam merupakan sebuah pasukan yang kuat dan dia serta rakan sepasukan perlu mempersiapkan diri 100 peratus.

“Kami bersedia menentang sebuah pasukan yang sukar, harap kami dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

The post Brendan tak kisah bermain di luar posisi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *