LONDON: Misi pelancaran roket LauncherOne yang dijadualkan pada pertengahan bulan ini mencipta sejarah tersendiri bagi rakyat Britain apabila menjadi program angkasa lepas yang pertama dilakukan dari negara ini.

Lapor The Guardian, jet jumbo Virgin Orbit akan berlepas dari lapangan terbang di Cornwall sebelum melancarkan roket membawa muatan satelit kecil ke orbit bumi.

Pegawai pengurusan Spaceport Cornwall, John Paffett berkata, pihaknya merancang lapan penerbangan Virgin Orbit dari Spaceport Cornwall di Newquay setahun termasuk pelancaran roket membawa setelit ke angkasa dari tanah besar Scotland dan Shetland dalam masa terdekat.

“Britain menjadi antara yang terbaik dalam membangunkan dan membina satelit kecil, tetapi untuk menghantarnya ke orbit kami terpaksa membawanya ke Russia, India atau Amerika Syarikat (AS).

“Prosesnya sangat mahal, membazir masa dan sering menyebabkan kelewatan. Kini kami boleh mengawal keseluruhan operasi daripada merancang siasatan hingga meletakkannya di angkasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Satellite Applications Catapult, Lucy Edge berkata, kecanggihan satelit kecil dapat membantu membuka jalan kepada pembinaan struktur besar tanpa melibatkan angkasawan.

“Kami juga boleh mula mengitar semula bahan di angkasa menggunakan serpihan satelit lama seperti panel solar atau gentian karbon dan menggunakannya untuk membina kapal angkasa lain.

“Terdapat begitu banyak yang boleh kami lakukan di angkasa lepas dan menjadi lebih mudah apabila United Kingdom (UK) mempunyai keupayaan untuk melancarkan satelit yang telah kami reka dan bina. Itulah sebabnya penerbangan LauncherOne sangat penting,” katanya.

The post Britain bakal lancar satelit ke angkasa lepas dari tempat sendiri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *