SAUDARA PENGARANG,

PERTAMA sekali diucapkan tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meminta semua kementerian dan agensi kerajaan agar memansuhkan sambutan ambang tahun baharu.

Amalan penganjuran sambutan sedemikian pada setiap tahun perlu dihentikan terus untuk tahun-tahun akan datang walaupun bukan dalam musim musibah termasuk Covid-19.

Saya juga menyeru agar kerajaan menghentikan terus majlis sambutan tidak relevan seperti Hari Wanita, Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru dan Hari Pekerja agar tiada lagi sambutan khusus untuk mengiktiraf satu-satu golongan.

Daripada menganjurkan semua majlis sambutan tersebut yang terang-terangan tidak relevan dengan seluruh rakyat Malaysia, ada baiknya wang untuk penganjuran majlis terbabit sebahagian besarnya dipulangkan kepada rakyat.

Sebahagian wang lain pula hendaklah digunakan untuk membiayai bagi mendapatkan hak siaran semua perlawanan bola sepak Piala Dunia secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen penyiaran percuma lain bermula edisi akan datang.

Kerajaan juga harus memastikan pihak swasta tidak mempromosikan sambutan hari khusus untuk mengiktiraf satu-satu golongan sahaja.

Saya juga memohon pihak kerajaan mengeluarkan Hari Pekerja dari senarai cuti umum (sebagaimana di Thailand dan Korea Selatan) dan ia digantikan dengan cuti umum Deepavali selama dua hari berturut-turut di semua negeri dalam Malaysia.

Selain itu, penganjuran majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri hendaklah diadakan sehingga hari ke-10 bulan Syawal sahaja. Raya bukan sebulan tetapi puasa memang sebulan.

Bagaimanapun, penganjuran perbarisan pada pagi Hari Merdeka setiap tahun pada 31 Ogos boleh dikekalkan (kecuali ketika pandemik penyakit) kerana ia adalah tarikh keramat bagi semua rakyat Malaysia. – UTUSAN

KOMUNITI 365 HARI SETAHUN MALAYSIA
Seluruh Malaysia

The post Buang Hari Pekerja dari senarai cuti umum appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *