SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan akur dengan apa juga keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH)  berkaitan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri-negeri dibawah pentadbiran gabungan parti itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri setakat ini masih kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN dan ia selari dengan keputusan oleh Majlis Presiden PH sebelum ini iaitu  Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.

Jelas beliau, ketetapan tersebut juga telah beliau maklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Sebelum Majlis Presiden PH umumkan saya mendapat perkenan Tuanku Muhriz, baginda menitahkan supaya terpulang kepada kerajaan negeri, ketika itu ketika kami maklumkan untuk buat tahun hadapan, baginda juga tiada halangan.

“Keputusan kami adalah untuk mengadakan PRU15 pada tahun hadapan, saya maklumkan kepada baginda bahawa kerajaan negeri masih mempunyai mandat sehingga tahun hadapan dan masih mempunyai masa.

“Baginda meminta kerajaan negeri untuk menyelesaikan terlebih dahulu isu-isu rakyat dan mengambil perhatian serius berkaitan isu banjir,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan dalam pada itu menambah, pihaknya akan menerima sekiranya Majlis Presiden PH mengambil keputusan supaya DUN di ketiga-tiga negeri terlibat dibubarkan mengikut pembubaran Parlimen.

“Kami (kerajaan negeri) sudah buat keputusan dan terpulang kepada Majlis Presiden PH. Kami sampaikan hasrat dan pandangan kami. Kami minta tangguh kerana ada sebab-sebabnya, semua tahu sebabnya, saya percaya Majlis Presiden PH akan memberi pertimbangan.

“Saya tidak mahu buat konklusi sebelum Majlis Presiden buat keputusan, tidak baik, saya ada Presiden yang perlu dihormati,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin memaklumkan persidangan DUN Negeri Sembilan akan diadakan pada 17 Oktober depan bagi membentangkan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

“Walaupun dikuatkuasakan, namun, di peringkat negeri, masih perlu sokongan dua pertiga ahli dewan,” katanya. –UTUSAN

The post Bubar DUN: Negeri Sembilan akur setiap keputusan Majlis Presiden PH appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *