SEREMBAN: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka akan dibuat bersama dua buah negeri lain ditadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang dan Selangor.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat ini DUN Negeri Sembilan tidak dibubarkan sehingga habis penggal iaitu pada bulan Jun tahun hadapan.

“Belum ada lagi (cadangan pembubaran DUN), buat kerja dahulu, buat kerja betul-betul, cukup masa kita akan bubarkan.

“Kami ada masa sehingga bulan Jun tahun depan, kami tidak cakap bila (akan dibubarkan) tetapi keputusan akan dibuat bersama,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri itu terbuka untuk berbincang dengan Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Selangor sama ada DUN boleh dibubarkan serentak, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan bersama.

Jelas beliau, mengikut perlembagaan, DUN Pulau Pinang akan tamat pada 2 Ogos 2023 dan PRN perlu diadakan dalam 60 hari selepas itu.

Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, parti itu akan melakukan post-mortem bagi mengkaji punca utama sehingga terlepas dua kerusi Parlimen iaitu Kuala Pilah dan Tampin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. 

“Kami akan membuat post-mortem dalam masa terdekat, calon heavyweight pun kalah ramai kalah, jadi kita tidak boleh mendabik dada dalam keadaan sekarang kerana yang berkuasa adalah rakyat,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

The post Bubar DUN NS: Keputusan akan dibuat bersama negeri ditadbir PH appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *