KUALA TERENGGANU: Pas masih berteka-teki berhubung pembubaran tiga negeri di bawah pentadbirannya sama ada kekal dengan keputusan sebelum ini untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berasingan atau mengubah pendiriannya untuk dibubarkan serentak dengan Parlimen.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Terengganu, Kedah dan Kelantan akan diketahui selepas mesyuarat Pas Pusat di Kuala Lumpur, esok.

“Esoklah, perkara itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi oleh Setiausaha Agung Pas, (Datuk Seri Takiyuddin Hassan).

“Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat pagi esok. Jadi,  pengesahan yang muktamad esok kerana tidak ada lagi mesyuarat (berhubung perkara ini) buat masa sekarang. 

“Jadi apa-apa keputusan kita akan tengok esok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini. 

Sebelum ini, Pas memaklumkan keputusan mengenai pembubaran DUN tiga negeri itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat di Kuala Lumpur yang berlangsung semalam, namun sehingga kini masih tiada sebarang penyataan rasmi mengenai perkara tersebut.

Ditanya mengenai tarikh yang dijangka beliau akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pula, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana hanya Parlimen yang dibubarkan buat masa sekarang.

“Jika DUN tidak akan dibubar, tidak akan menghadap Sultan. Rutin mingguan setiap kali sebelum mesyuarat Exco saya akan menghadap Sultan (sembah maklum perkembangan semasa) macam pagi ini,” katanya.

Ditanya mengenai senarai calon untuk lapan Parlimen di Terengganu pula, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu masih belum diputuskan dengan muktamad bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Belum ada kata putus sama ada dua atau tiga kerana belum berbincang lagi, tunggu tarikh sesuai untuk mesyuarat dengan Bersatu.

“Tidak sukar untuk Perikatan Nasional menyenaraikan nama calon kerana ada ramai yang berpotensi….hantar banyak mana pun akhirnya hanya seorang sahaja yang akan terpilih,” katanya.

Daripada lapan kerusi Parlimen di Terengganu enam dikuasai Pas iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.

UMNO pula menang di dua kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu namun, tindakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid melompat ke Bersatu menyebabkan UMNO hanya ada satu kerusi parlimen ketika ini. – UTUSAN

The post Bubar DUN: Pas masih berteka-teki appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *