KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dua pihak lagi memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung pembubaran Parlimen.

Permohonan membatalkan saman pemula itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Selain Perdana Menteri, pemohon-pemohon terdiri daripada Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam saman pemula itu, ketiga-tiganya dinamakan sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Menurut notis permohonan, ketiga-tiganya memohon supaya saman pemula yang difailkan oleh Charles (plaintif) pada 11 Oktober lalu, dibatalkan.

Selain itu, mereka turut mahukan prosiding saman pemula itu digantung sehingga permohonan mereka untuk membatalkannya diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Permohonan untuk membatalkan saman pemula berkenaan dibuat dengan alasan ia tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah ke atas ketiga-tiganya.

Ia kerana kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam membuat pengisytiharan pembubaran Parlimen ke-14 mengikut Perkara 55(2) dan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diadili (non justiciable) dan tidak boleh dipertikaikan di mahkamah.

Pemohon-pemohon menyatakan, kuasa membubarkan Parlimen merupakan kuasa prerogatif (prerogative) YDPA yang mana Baginda mempunyai budi bicara membubarkan Parlimen tanpa perlu mendapat nasihat Jemaah Menteri.

“Isu keesahan permintaan pembubaran Parlimen ke-14 oleh defendan pertama kepada YDPA pada 9 Oktober lalu adalah bersifat akademik.

“Ini kerana YDPA telahpun memperkenankan permintaan tersebut di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya membubarkan Parlimen.

“Pengisytiharan dan pembubaran Parlimen merupakan kuasa YDPA di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mana yang mana badan kehakiman selaku penjaga kepada keadilan (guardian of justice) perlu
memelihara prinsip keperlembagaan ini,” kata defendan-defendan.

Menurut notis berkenaan, defendan ketiga (SPR) mempunyai tugas keperlembagaan di bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 113(1) untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Selain itu, sebarang cabaran terhadap perjalanan pilihan raya tidak boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, pemohon-pemohon menyatakan saman pemula tersebut remeh, menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah yang serius.

Pada 12 Oktober lalu, Charles menfailkan saman pemula bertujuan menghalang SPR daripada mengadakan PRU-15.

Berdasarkan dokumen, plaintif memohon deklarasi bahawa permintaan Ismail Sabri kepada YDPA pada 9 Oktober lalu untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana katanya, permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat atau kuasa am Jemaah Menteri dan menjadikannya terbatal serta tidak sah. –UTUSAN

The post Bubar Parlimen: PM dan dua lagi mohon batal saman pemula Charles Santiago appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *