SAUDARA PENGARANG,

ADAKAH Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan membawa kepada kestabilan politik di negara ini bagi menjana pertumbuhan ekonomi? Sebenarnya ada pelbagai ramalan mengenai kesan PRU15 ke atas ekonomi.

Ramalan yang neutral mengatakan ekonomi akan berkembang seperti biasa sahaja. Tempias daripada kemelesetan ekonomi dunia lebih besar dan kritikal serta mengatasi keupayaan kita menepisnya.

Ramalan negatif pula mengatakan PRU15 menggunakan perbelanjaan kerajaan yang besar di tengah-tengah kedudukan kewangan semakin sempit. Lagipun, kos PRU meningkat tinggi dari semasa ke semasa. Akibatnya, perbelanjaan ini akan menyebabkan pembaziran.

Ternyata membuat ramalan sebegini adalah sukar. Tetapi saya berpendapat, pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15 akan memberi beberapa kesan positif kepada ekonomi.

Pertama, PRU15 memberi peluang kepada rakyat untuk mengesahkan kerajaan yang ada sekarang dan mengelak ia terus digelar dengan pelbagai gelaran negatif seperti ‘kerajaan pintu belakang’ dan ‘kerajaan tebuk atap.’ Pengesahan ini dengan sendirinya akan meningkatkan keyakinan pelabur.

Kedua, selepas PRU15, Bajet 2023 akan dibentang semula. Ini memberi peluang kepada kerajaan baharu memperbaiki belanjawan berkenaan dengan cadangan-cadangan lebih positif untuk dilaksanakan.

Ketiga, PRU15 dengan sendirinya menghapuskan ketidakstabilan politik dan ketidaktentuan ekonomi domestik. Ini akan memperbaiki sentimen pelabur dan boleh meningkatkan kembali nilai pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) yang susut.

Ribut

Keempat, seperti biasa ketika PRU, aktiviti ekonomi domestik seperti pengangkutan dan perhotelan akan meningkat. Peningkatan aktiviti-aktiviti ini akan meningkatkan permintaan agregat.

Kelima, peningkatan permintaan agregat ini menyokong momentum pertumbuhan suku keempat untuk tahun ini. Peningkatan aktiviti ini juga memberi peluang kepada buruh mendapat pekerjaan sementara dan menaikkan pendapatan mereka.

Yang pasti, kerajaan stabil adalah penting bagi menangani ribut ekonomi dan inflasi lebih tinggi yang dijangka tahun depan. Pada masa sama, dasar yang akan diguna pakai dan dilaksanakan oleh kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 adalah penting untuk menghapuskan sebarang ketidaktentuan.

Dalam pada itu, mengikut pakar-pakar politik, terdapat tiga kemungkinan pembentukan kerajaan akan berlaku daripada PRU15 iaitu kerajaan majoriti, kerajaan minoriti dan Parlimen yang tergantung.

Ketiga-tiga jenis kerajaan ini dikatakan memberi kesan berbeza kepada sentimen pelabur dan ekonomi. Ada sesetengah pendapat yang mengatakan kerajaan majoriti disukai oleh pelabur-pelabur asing kerana ia menjanjikan kestabilan politik.

Jika kerajaan majoriti yang stabil diwujudkan, semua akan berjalan lancar dan mungkin Bajet 2023 yang telah ditangguhkan perbahasannya akan diluluskan tanpa pindaan yang signifikan.

Bagaimanapun, ada pendapat yang berbeza mengatakan bagaimana PRU15 memberi kesan kepada ekonomi bergantung kepada polisi yang didukung dan dilaksanakan oleh kerajaan yang dibentuk. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi

The post Bubar Parlimen, PRU15 beri kesan positif pada ekonomi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *