BACHOK: Kegembiraan dua beradik yang mandi-manda bersama bapa mereka di Pantai Kemayang di sini petang tadi bertukar tragedi apabila salah seorang daripada kanak-kanak itu lemas.

Mangsa, Muhammad Hanif Nurhaqim Amran, 11,   ditemui terapung di kawasan pantai tersebut kira-kira pukul 6.55 petang selepas hilang kira-kira sejam sebelum diselamatkan oleh seorang pemuda, Muhammad Kamarul Aidil Mohd. Zakimi, 21.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Muhammad Kamarul Aidil berkata, dia dan rakannya berjalan menyusur pantai melihat mangsa yang memakai baju merah terapung tidak jauh dari kawasan dia dipercayai lemas semasa membantu operasi menyelamat.

Menurutnya, dia terus berenang sebelum mencapai baju mangsa dan mengheret kanak-kanak itu ke tepi pantai.

“Saya dibantu oleh rakan-rakan untuk mengangkat mangsa naik ke tebing sebelum memaklumkan kepada anggota bomba yang turut berada di tempat kejadian.

“Saya berada di kawasan pantai untuk beriadah sebelum dimaklumkan ada kanak-kanak lemas kira-kira pukul 5.30 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Zamizi Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.55 petang sebelum seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, abang mangsa, Muhd. Hanif Lokman, 12, dipercayai turut lemas bersama mangsa, namun salah seorang daripada mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN

 

The post Budak lemas ketika mandi di Pantai Kemayang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *