JOHOR BAHRU: Seorang budak lelaki melecur di bahagian badan sebelah kanan dari bawah ketiak hingga ke paha akibat bermain api di timbunan sampah berhampiran rumahnya di Kampung Parit Kuchi, Pontian Jumaat lalu.

Bagaimanapun, setelah lima hari berlalu, mangsa berusia sembilan tahun itu tidak dibawa ke hospital oleh ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, perkara itu terbongkar selepas pengadu yang merupakan rakan kepada ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Pontian.

Beliau berkata, pengadu mengetahui mengenai perkara itu menerusi kumpulan WhatsApp keluarga apabila ternampak gambar anak lelaki kepada kenalannya yang dikenali sebagai Syikin. Pengadu mendapati budak tersebut tidak dibawa oleh ibu bapanya ke mana-mana hospital untuk mendapatkan rawatan dan masih lagi berada di rumahnya tanpa ada sebarang rawatan. 

“Pengadu bersama ibu serta suami melawat budak tersebut di rumahnya dan menasihatkan ibu bapa mangsa supaya membawa anaknya ke hospital terima rawatan. 

“Laporan dibuat kerana pengadu tidak berpuas hati dengan ibu bapanya yang masih membiarkan anaknya tidak menerima rawatan walaupun lima hari berlalu. Sehingga laporan ini dibuat, luka mangsa semakin teruk dan sudah mula berbau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Laporan dibuat untuk tindakan selanjutnya pihak polis kerana pengadu mengesyaki  berlakunya pengabaian terhadap kanak-kanak.Semasa anggota polis sampai ke lokasi kejadian mendapati budak tersebut dalam keadaan tidak berpakaian berada di luar rumah untuk dibawa ke hospital oleh keluarganya.

Hasil pemeriksaan awal ke atas anggota badan mendapati terdapat kesan terbakar dan melecur  seperti di bahagian kanan badan hingga ke kaki, lengan kiri, kedua-dua paha dan telinga kanan. 

“Semasa kejadian ibu kandung mangsa berada di dalam rumah terdengar bunyi letupan di luar dan nampak kelibat mangsa berlari dalam keadaan baju dan seluarnya terbakar menuju dan terjun ke dalam parit di hadapan rumah.

“Bapa mangsa telah membantu memadamkan api di baju mangsa dan membawanya masuk ke dalam rumah. Ibu bapa mangsa hanya membeli ubat tahan sakit dan ubat sapu di farmasi dan tidak membawa mangsa ke hospital.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Pontian menaiki ambulans untuk menjalani pemeriksaan lanjut.  Mangsa kini dalam keadaan stabil dan akan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Ibu bapa mangsa berusia 36 dan 33 tahun ditahan pada pukul 2 pagi semalam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen  31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN

The post Budak melecur main api, ibu bapa ditahan tak bawa dapatkan rawatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *