KOTA KINABALU: ‘Nilai perjuangan dan kepimpinan saya untuk membawa perubahan di Sabah, bukan nilai kepada paras rupa’.

Demikian pesanan calon kerusi Parlimen Tuaran, Jo-Anna Sue Henley Rampas yang mewakili Parti Warisan (Warisan) semasa program ramah mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tamparuli malam tadi.

Timbalan Ketua Wirawati Warisan itu berkata, perjuangannya dalam politik bukan bersandarkan paras rupa sebaliknya, keupayaan beliau untuk berjuang dan menuntut hak Sabah melalui parti Warisan.

“Saya rasa sudah tiba masanya orang di luar sana tidak menilai keupayaan saya dengan melihat paras rupa. Itu bukan satu ukuran kerana apa yang lebih penting adalah saya boleh bekerja atau tidak.

“Jika saya diberi peluang, saya akan membawa perubahan di Tuaran dan mengangkat suara anak-anak muda agar lebih didengari. Pembaharuan dalam kepimpinan penting bagi mengubah Sabah,” katanya.

Walaupun akan berhadapan dengan dua nama besar, Jo-Anna tidak gentar kerana kuasa undi itu berada ditangan rakyat bukan ditangan parti lawan.

Malah jika dilihat sokongan yang diterima sejak hari pertama, semakin meningkat dan ia memberi keyakinan untuk beliau memberi saingan sengit kepada pihak lawan.

Pemenang Ratu Cantik Unduk Ngadau 2007 itu berkata, beliau akan membawa semangat Hominodun dalam perjuangan mengubah Sabah.

“Hominodun sanggup korbanan diri demi masyarakat yang kebuluran dan saya mahu menggunakan analogi itu keadaan keadaan sekarang bagi membolehkan saya membawa perubahan di Sabah.

Jo-Anna berhadapan persaingan enam penjuru di kerusi Parlimen Tuaran bagi menentang calon lain seperti Datuk Seri Wilfred Madius Tangau daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Joniston Bangkuai (GRS), Muminin Kalingkong @Norbinsha (Pejuang), Bobby Lewat (Bebas) dan Datuk Noortaip Suhaili (Bebas).-UTUSAN

The post Bukan kecantikan jadi ukuran, lihat kepimpinan, Jo-Anna appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *