KUALA LUMPUR: UMNO mengakui ahli-ahlinya dihantui permusuhan lama dengan DAP, namun menyifatkan permusuhan itu ada hadnya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ahli-ahli parti tidak boleh sekadar mengambil kira sejarah antara kedua-dua parti, sebaliknya ia perlu dilihat dengan gambaran yang lebih luas.

Namun, ia tidak bermakna perjuangan UMNO dalam beberapa isu selama ini dipinggirkan mahupun perjuangan DAP diterima oleh parti.

“Demikianlah juga kerjasama kita dalam membentuk kerajaan perpaduan Malaysia bersama parti-parti yang sekian lama menjadi musuh utama bahkan menjadi igauan bagi setiap ahli UMNO untuk menerima DAP sebagai teman.

“Sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah. Sudah banyak hati yang terguris, sudah banyak jiwa yang terluka. Tetapi hikmah kerjasama Nabi dengan bukan Islam demi memastikan agama dan bangsa ini terus subur menjadi panduan kita.

“Kita tidak sesekali akan tunduk atau akur pada apa-apa tuntutan yang akan menjejaskan kedudukan Islam, Melayu Bumiputera dan institusi raja-raja. 

“Jauh sekali mahu terlentang di atas jalan raya menghalang kereta sultan hanya kerana tidak mahu kerajaan sekutu mereka tumbang suatu masa dahulu. Itu bukan cara orang Melayu UMNO,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2022 hari ini.

Pada masa sama, katanya, ada hikmah di sebalik kerjasama politik baharu dalam sebuah gabungan parti-parti politik yang mewakili pelbagai kaum dan etnik dan bukannya bersama gabungan yang dilihat hanya mewakili satu kaum semata-mata.

“Kita tidak boleh menjadi jumud, dan menganggap sesebuah parti itu akan menjadi kawan atau lawan selamanya. Kita tidak boleh menjadi tegar (rigid) dan menganggap permuafakatan politik sedia ada sudah sempurna tanpa mengambil kira realiti dan aspirasi rakyat di luar sana.

“Kita tidak boleh menjadi kolot, dan menganggap segala strategi politik kita selama ini sudah hebat, sedangkan musuh lebih berani meneroka jalan bahkan menangguk di air keruh demi kuasa,” katanya.

Justeru, katanya, hubungan kedua-dua parti itu diharap dapat menjamin kestabilan kerajaan di masa akan datang.

“Kita bermusuh ada hadnya. Kita bersahabat pun berpada-pada. Maka Pemuda UMNO hendak mengingatkan kepada semua sekutu kita dalam kerajaan, andainya berhajat pentadbiran ini kekal lama, maka utamakanlah rakyat.

“Tunjukkanlah kejayaan dan kemampuan kita bersama-sama. Jangan diulang gelojoh kerajaan 22 bulan yang akhirnya memakan diri dan menjauhkan sokongan majoriti,” katanya.-UTUSAN

The post Bukan mudah terima DAP sebagai teman, tetapi bermusuh ada hadnya – Asyraf appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *