KUALA LUMPUR: Bukan semua peminjam terkesan dengan peningkatan Kadar Dasar Semalam (OPR) kerana peningkatan ansuran bulan hanya melibatkan peminjam yang mempunyai pinjaman jenis berkadar dan terapung.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setakat Disember 2022, sebahagian peminjam iaitu 50.3 peratus daripada akaun pinjaman dalam sektor isi rumah adalah pinjaman berkadar tetap berjumlah 6.4 juta akaun.
Menurut beliau, dianggarkan sebanyak 54.8 peratus daripada jumlah akaun pinjaman berasaskan kadar tetap melibatkan 3.5 juta akaun, bagi peminjam berpendapatan rendah iaitu kurang dari RM5,000 sebulan termasuk golongan berpendapatan rendah (B40).
“Walaupun kenaikan OPR ini akan memberi kesan kepada peminjam dan penyimpan, langkah ini adalah wajar dan perlu bagi memastikan inflasi terkawal dan ekonomi terus mampan.
“Kenaikan OPR sebanyak 100 mata asas mencerminkan pengembalian tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar berikutan pengurangan sebanyak 125 mata asas semasa pandemik.
“Oleh itu, bagi pinjaman berkadar terapung yang diambil sebelum pandemik, sebahagian besar daripada jumlah pinjaman terkumpul, jumlah ansuran bulanan pada masa ini masih lebih rendah berbanding jumlah ansuran sebelum pandemik iaitu tiga peratus,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) meminta kerajaan menyatakan sama ada melaksanakan kajian terhadap kesan kenaikan OPR terhadap golongan B40 kesan kenaikan kadar pinjaman bulanan yang semakin tinggi.- UTUSAN
The post Bukan semua peminjam terkesan OPR – Ahmad Maslan appeared first on Utusan Malaysia.