KOTA KINABALU: Pemimpin Sabah dan Sarawak tidak perlu jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana pemimpin dari kedua-dua wilayah ini layak untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Darell Leiking berkata, sekiranya Sabah dan Sarawak mempunyai jumlah kerusi yang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kedua-dua negeri ini boleh berbincang bagi memutuskan calon Perdana Menteri.

“Bayangkan sekiranya keadaan masih belum jelas di Semenanjung Malaysia, tiada jumlah kerusi yang mencukupi maka, situasi itu boleh wujudkan kebangkitan Blok Borneo di Malaysia Timur.

“Bila sebut tentang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, sentiasa ingat bahawa Sabah mahu membina blok dan menang sebanyak mungkin kerusi yang boleh.

“Apabila kita mempunyai kerusi yang banyak, saya percaya bukan hanya kita ada calon bahkan Sarawak juga ada calon sekiranya kita kerjasama,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika Warisan telah menamakan calon Perdana Menteri.

Penyandang kerusi Parlimen Penampang itu berkata, seperti Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg katakan, cadangan jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya sekadar tawaran menjelang pilihan raya semata-mata.

“Kenapa kita mahu Timbalan Perdana Menteri sedangkan jika kita bekerjasama dan miliki jumlah kerusi yang besar, kita boleh memutuskan siapa boleh jadi Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, jawatan itu tiada dalam perlembagaan tapi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tiba-tiba bercakap soal Timbalan Perdana Menteri setelah mereka rasa ada gelombang Blok Borneo.

Menurut Darell, biarpun Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sehaluan di Semenanjung Malaysia namun, di Sabah BN-GRS saling bekerjasama demi menentang Warisan.

“BN-GRS merupakan musuh ketat dalam politik tapi bekerjasama untuk menang kerusi, hanya di Sabah mereka fokus lawan kita, Warisan daripada menang sebarang kerusi.

“Bagaimana mereka boleh bersatu di Sabah tapi tidak di Semenanjung, ini jelas menunjukkan ada sesuatu yang berlaku,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Darell berkata, senarai calon sedang diperhalusi kerana terlalu ramai calon berpotensi yang ingin bertanding.

Darell berkata, beliau meletakkan keyakinan kepada rakyat untuk memilih calon yang ditampilkan oleh Warisan kerana mereka tidak boleh kawal siapa yang ingin dipilih oleh rakyat. Tetapi, mereka boleh pelawa rakyat yang faham tentang perjuangan Sabah untuk mengundi Warisan. –UTUSAN

 

The post Bukan TPM, pemimpin Sabah, Sarawak layak jadi PM – Darell Leiking appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *