PUTRAJAYA: Pengunjung ke Festival Seni Al-Quran Restu Global di Kompleks Nasyrul Quran bakal berpeluang menyaksikan buku terbesar di dunia dipamerkan kepada awam.

Ensiklopedia sirah atau kisah hidup sejarah Rasulullah SAW bertajuk Haza Muhammad itu bakal dipertontonkan eksklusif selama 10 hari sepanjang program tersebut berlangsung.

“Uniknya, buku ini sudah pun diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan tajuk Inilah Muhammad oleh pihak Yayasan Restu,” kata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abdul Latiff Mirasa selepas menyaksikan prapelancaran festival berkenaan dan pelancaran rasmi buku tersebut oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, di sini hari ini.

Buku setebal 429 halaman dengan berat 1,500 kilogram itu berketinggian lima meter lebar dan lapan meter tinggi diiktiraf oleh Guinness World Records pada 27 Februari 2012 lalu.

Ia diterbitkan oleh Mshahed International Group yang berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan dihasilkan lebih 50 pakar sejarah Islam terkenal dari seluruh dunia.

Festival Seni Al-Quran Restu Global akan diadakan mulai Jumaat ini sehingga 29 Januari depan dari pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali pada Sabtu dan Ahad sehingga 9 malam.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran berkata, pihaknya bangga diberikan penghormatan oleh penerbitnya untuk dipamerkan di sini bagi memupuk minat masyarakat khasnya umat Islam agar mencintai Nabi Muhammad SAW serta menghayati al-Quran.

Justeru ujarnya, pelbagai acara menarik ada disediakan untuk para pengunjung festival itu termasuk pameran barang Rasulullah SAW dan para sahabat serta artifak sejarah Islam.

Turut diadakan ialah siri lawatan eksklusif ke kilang percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia itu yang terletak di Presint 14 selain berlangsung pelbagai aktiviti dan pertandingan.

Pengunjung juga ditawarkan perkhidmatan khas pelupusan al-Quran dan buku agama yang rosak atau lama selain siri ceramah ilmiah pelbagai topik oleh ramai tokoh terkenal.

Pertandingan khat terbuka juga diadakan selain majlis pelancaran buku siri Ohsem! AR dan Sajdah oleh Blindspot Studio yang menerbitkan siri animasi cilik terkenal, Alif & Sofia.

Abdul Latiff berharap, orang awam dapat memeriahkan festival berkenaan dan memberi jaminan setiap pengisian aktiviti akan memberi banyak manfaat terutama kanak-kanak bagi memperkasakan seni kaligrafi dan zukhruf selari dengan seni Islam selain memanfaatkan teknologi model sebagai medium dakwah kreatif. – UTUSAN

The post Buku terbesar dunia tarikan festival seni Islam di Nasyrul Quran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *