LOKORSKO: Pihak berkuasa Bulgaria menemukan 18 mayat pendatang asing yang dipercayai maut akibat sesak nafas, dalam trak yang menyeludup kumpulan individu itu melalui negara itu.

Kejadian itu berlaku ketika negara Balkan itu berusaha menangani peningkatan jumlah pendatang yang cuba merentas sempadan secara haram.

Menurut pegawai tempatan, trak itu membawa seramai 52 pendatang yang bersembunyi di bawah muatan kayu.

Penduduk tempatan memaklumkan polis mengenai penemuan trak yang ditinggalkan berhampiran perkampungan Lokorsko, kira-kira 20 kilometer (km) ke timur laut ibu negara, Sofia.

Pasukan penyiasat menemukan mayat bergelimpangan di atas rumput sekeliling kenderaan berkenaan.

“Berdasarkan laporan awal, pendatang itu meninggal dunia akibat asfiksia atau sesak nafas kerana terlalu ramai orang bersesak di tempat yang terlalu kecil.

“Malah, dari segi jumlah mangsa, ini adalah kes paling ramai yang maut membabitkan pendatang asing di Bulgaria,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Borislav Sarafov.

Sarafov berkata, mangsa meninggal dunia kira-kira 10 hingga 12 jam sebelum mayat mereka ditemukan.

Tambahnya, penyeludup melarikan diri sebaik menyedari kematian pendatang tersebut.

Sementara itu, empat warga Bulgaria ditahan sebagai suspek dalam kes itu manakala seramai 34 orang yang ditemukan masih hidup dibawa ke hospital.

“Mereka kesejukan dan basah kuyup, serta sudah pasti tidak makan selama beberapa hari,” kata Menteri Kesihatan, Asen Medjidiev.

Menurut Kementerian kesihatan, mangsa yang maut termasuk kanak-kanak berusia enam atau tujuh tahun.

Bagaimanapun, Sarafov memaklumkan mangsa paling muda yang maut merupakan seorang remaja.

Berdasarkan maklumat awal, kumpulan pendatang itu yang menaiki trak itu berasal dari Afghanistan.

Kumpulan itu yang bergerak dari Turkiye itu memasuki Bulgaria beberapa hari lalu, merentas pagar sempadan di wilayah tenggara Yambol. – AFP

The post Bulgaria: 18 mayat pendatang ditemukan dalam trak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *