BUKTI MERTAJAM: Sepasang suami isteri nyaris cedera selepas bumbung rumah yang didiami mereka di Taman Impian di sini, runtuh secara tiba-tiba kira-kira pukul 3.26 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, ketika kejadian, mangsa, Khairul Faiz Kamaruddin, 38, bersama isterinya sedang duduk di atas sofa di bahagian ruang tamu tidak jauh dari tempat runtuhan.

“Kejadian itu berlaku apabila atap genting dan alang kayu rumah tersebut patah secara tiba-tiba.

“Ketika ini, nilai kerosakan masih belum diketahui dan satu laporan polis akan dibuat oleh mangsa sebelum dikemukakan kepada semua agensi yang terlibat untuk bantuan bencana,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pasangan suami isteri itu tidak mengalami kecederaan dan difahamkan menyewa rumah tersebut sejak lima tahun yang lalu dengan kadar sewa RM600 sebulan.

Kata Boon Poh, ketika ini, mereka tinggal di sebuah hotel di Alma dekat sini, selama beberapa hari hasil bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Kai Loon.

Jelas beliau, pejabat ADUN Machang Bubok juga akan membuat permohonan rumah sewa bencana untuk mangsa melalui unit di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan, di sini.

“Pada masa sama, mangsa akan dipertimbangkan untuk mendapat Tabung Bantuan Segera Negeri (TBSN) memandangkan terdapat kerosakan harta benda milik mereka seperti perabot, peti ais, meja makan dan kerusi, televisyen, sofa serta monitor komputer,” ujarnya. – UTUSAN

The post Bumbung rumah runtuh, suami isteri nyaris cedera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *