KUALA LUMPUR: Strategi pembunuhan karakter dilakukan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan menjadi antara punca parti itu tersungkur dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan, apabila perwatakan seseorang pucuk pimpinan sering dipertikai dan dipersoalkan oleh pelbagai pihak, ia sekali gus melemahkan parti secara keseluruhan.

“Presiden adalah pusat graviti kepada parti. Yang Amat Berhormat Presiden (Ahmad Zahid) bukanlah individu tetapi sebuah institusi. Lemah institusi presiden, lemahlah organisasi. Hancur institusi Presiden maka musnahlah kekuatan parti.

“Sebab itu strategi menyerang peribadi pemimpin, membunuh karakter pemimpin dan menghancurkan kredibiliti pemimpin adalah senjata paling ampuh bagi melemahkan dan menundukkan mana-mana organisasi.

“Ini terbukti jelas baik PRU14 dan PRU15, kedua-dua kepimpinan tertinggi parti dibunuh kredibiliti, diwajahkan persepsi begitu hodoh akibat pendakwaan politik terpilih dengan begitu dahsyat hingga mengakibatkan UMNO jatuh tersungkur,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Namun, beliau mengakui, perkara itu berlaku kerana UMNO sendiri gagal mempertahankan pucuk pimpinan parti daripada serangan-serangan peribadi oleh pihak lawan.

“Malangnya, kita sendiri yang merelakan segala kebobrokan yang berlaku.

Pentas media sosial peribadi dibuka ruang untuk kepimpinan sendiri dihina.

“Malah, kita khayal dan seronok dengan gegak gempita, sorak sorai penonton tatkala memerli dan merendahkan parti sendiri,” katanya. – UTUSAN

 

The post Bunuh karakter presiden punca UMNO tersungkur appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *