ALOR GAJAH: Seorang buruh warga Indonesia maut digilis sebuah lori ketika sedang menggulung kain kanvas di kawasan timbang sawit, Jalan Ayer Hitam-Lendu di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa, Abd. Hafis, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala kira-kira pukul 4 petang.

Beliau berkata, nahas dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu seorang pekerja tempatan berusia 49 tahun tidak menyedari mangsa berada di hadapan kenderaan berkenaan.

ABD. HAFIS

“Kemalangan berpunca apabila pemandu tidak nampak mangsa yang sedang menggulung kain kanvas di kawasan pusat timbang dan telah melanggarnya.

“Akibat insiden itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Arshad, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

The post Buruh Indonesia maut digilis rakan sekerja appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *