KOTA BHARU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul isterinya semasa mereka berada di dalam sebuah kereta di Panji, dekat sini, dua bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Asrol Kamal Mohd. Asri, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah menggunakan tangan terhadap isterinya yang berusia 25 tahun.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di dalam sebuah kereta semasa berada di Kampung Langgar Tapang, Panji kira-kira pukul 12.01 tengah malam pada 15 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oTimbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd. Halim.

Terdahulu, Yusnaliza menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Siti Atikah dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan ikat jamin kerana tertuduh merupakan penanggung tunggal isteri yang tidak bekerja dan tiga anak.

“Tertuduh turut menanggung kedua ibu dan bapanya. Jadi, saya memohon jaminan yang rendah ditetapkan kepadanya,” katanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes disebut semula pada 20 Disember ini dan tertuduh kemudian membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

 

The post Buruh mengaku tak salah pukul isteri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *