KUALA LUMPUR: Hampir RM500,000 menanti 138 orang pemenang pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime dan Plus menerusi Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang dilancarkan hari ini.

Kempen tersebut diteruskan lagi tahun ini bagi menggalakkan penabungan dan sebagai penghargaan kepada pendeposit Simpan SSPN.

Cabutan kali ini terdiri daripada Cabutan Tahunan dan lima Cabutan Siri iaitu WOW! Gong Xi Ang Pow, WOW! Syoknya Raya, WOW! Merdeka, WOW! Superheroes dan WOW! Y.E.S 2023.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, lebih menarik lagi kempen kali ini memberi kelebihan bilangan cabutan berganda kepada pengguna aplikasi myPTPTN.

Katanya, pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan RM100 melalui myPTPTN, akan mendapat bilangan cabutan sebanyak lima cabutan manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan RM50 melalui myPTPTN akan mendapat 10 cabutan.

“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berperanan dalam memupuk budaya menabung bermula pada tahyn 2004 dengan menyediakan instrumen simpanan melalui Simpan SSPN.

“Simpan SSPN terus berada di landasan yang kukuh sebagai produk simpanan yang berdaya saing dan setanding dengan produk simpanan lain di pasaran dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang disediakan,” katanya ketika berucap pada pelancaran kempen itu di sini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Katanya, usaha berterusan dilakukan oleh PTPTN agar masyarakat Malaysia memperoleh manfaat daripada perancangan kewangan melalui produk simpanan yang diperkenalkan.

“Kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan turut dilipatgandakan dalam memastikan manfaat penabungan diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat.

“PTPTN sentiasa menggalakkan penglibatan rakan strategik dalam memperkasakan penabungan melalui Simpan SSPN. Kolaborasi daripada semua agensi kerajaan mahupun korporat yang berminat amat dialu-alukan sebagai penyumbang kepada akaun Simpan SSPN,” ujarnya.

Pada majlis itu juga, PTPTN menyampaikan sijil penghargaan kepada lima rakan strategik bagi kerjasama tahun 2022 sebagai simbolik kepada kejayaan kolaborasi dalam memperkasa dan memupuk budaya penabungan melalui Simpan SSPN.

Rakan strategik tersebut ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Veteran ATM (YVATM), Kao Laurier Malaysia dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). – UTUSAN

The post Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 hadiah hampir RM500,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *