KANGAR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini menyaksikan calon adik-beradik, Asrul Nizan Abd Jalil dan Asrul Aimran yang berbeza parti politik berentap di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak bawah Parlimen Kangar.

Asrul Nizan, 45, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kerusi DUN Sena manakala Asrul Aimran, 39, pula  berentap di DUN Kayang atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Asrul Nizan adalah penyandang DUN Sena manakala Asrul Aimran membuat penampilan julung kali  bertanding sebagai calon PN.

Asrul Nizan berkata, walaupun berlainan parti politik, mereka berdua masih tetap menjaga hubungan kekeluargaan dan bersikap profesional dalam perjuangan parti masing-masing.

“Memang kami berbeza wadah dalam parti tapi matlamat kami berdua adalah sama iaitu untuk perjuangan ke arah kebaikan. Walaupun kami ada percaturan masing-masing dalam politik namun ukhwah  kami berdua tetap rapat dan tidak akan dapat dipecahkan oleh mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di sini hari ini.

Mengulas pertembungan empat penjuru di DUN Sena, Asrul Nizan berkata, pihaknya terbuka dalam meraikan demokrasi bersama calon-calon lain yang bertanding.

Selain itu, Asrul Nizan berkata, beliau juga mencadangkan agar satu wacana dapat dianjurkan bersama calon bertanding di kawasan itu bagi membincangkan tentang dasar yang ingin dibawa di DUN Sena untuk ke arah Perlis yang lebih baik.

“Sekarang ini kita harap dapat menukar konsep daripada politik pertimbangan peribadi kepada politik dasar bagi membawa perubahan kepada Perlis dan disebabkan itu saya cadangkan untuk berwacana dengan calon-calon lain,” katanya.

DUN Sena menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan penyandangnya, Asrul Nizan bersama Marzita Mansor (PN), Saiful Daniel Mohd Yusof (BN) dan Mohd. Faizal Yunus (GTA)

Asrul pada PRU14 memenangi kerusi itu dengan mendapat 4,177 undi menerusi pertembungan tiga penjuru melawan calon BN, Azihani Ali (3,863 undi) dan Pas, Fakhrul Anwar Ismail (1,888 undi).- UTUSAN

 

The post Calon adik-beradik lain parti tetap jaga ukhwah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *