BANGI: Calon Bebas Parlimen Bangi, Muhammad Fauzi Hasim menegaskan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuka peluang dirinya untuk berkhidmat kepada rakyat secara lebih jujur.

Bekas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor itu berkata, rakyat Malaysia perlukan idea dan budaya baharu dalam politik tanah air yang mementingkan kebajikan dan keperluan rakyat.

“Saya pernah terlibat dengan Amanah dan Pakatan Harapan (PH) yang menjadikan laluan pertama saya ke dalam politik Malaysia. 

“Bagaimanapun, saya merasakan Amanah dan PH juga tidak jauh berbeza dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), maka saya letak jawatan pada tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. 

Fauzi yang juga penggerak Gelombang Orang Muda (Gelora) berkata, beliau bertanding atas tiket bebas kerana tidak mahu terikat dengan ‘warlord’ daripada mana-mana parti sehingga menjejaskan perjuangan untuk Rakyat. 

Katanya, sebagai calon Bebas, dia akan menyokong mana-mana blok mengikut isu dan dasar yang membawa manfaat kepada rakyat Malaysia secara umum dan khasnya rakyat Parlimen yang dimenangi calon Bebas.

“Sudah pastinya, pengundi yang mahukan perubahan yang tidak terkait dengan retorik parti politik sedia ada akan mengundi calon Bebas maka dengan undi protes ini, ia menjadi mesej dan suara golongan ini diambil serius,” katanya. 

Ditanya mengenai hala tuju beliau sekiranya berjaya dalam PRU15 sebagai Ahli Parlimen, Fauzi berkata, beliau mahu menegakkan keadilan, bukan mengamalkan politik cari makan dan tidak taksub kumpulan hingga merosakkan peranan wakil rakyat.

“Selain itu, saya akan memberi fokus kepada prestasi dalam pelbagai aspek bukannya kroni malah bukan hanya mengkritik tetapi memberi solusi terbaik serta pemerkasaan orang muda,” katanya. – UTUSAN

The post Calon Bebas Bangi yakin dapat ‘undi protes’ rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *