KLUANG: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan malam tadi perlu difahami dan diteliti terlebih dahulu oleh semua calon sebelum ia dijelaskan kepada rakyat, khususnya pengundi.

Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau mahu semua calon BN memahami manifesto kerana merupakan janji kepada rakyat supaya tidak sekadar janji semata-mata. 

“Saya hendak manifesto ini dikaji secara teliti, supaya semua yang turun ke bawah termasuk jentera dan calon melihat manifesto ini sesuatu yang serius. 

“Oleh itu, saya hendak calon-calon membawa manifesto ini kerana ia merupakan janji kita kepada rakyat, jika tidak difahami, ia tidak dapat diterjemah di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Simpang Renggam di Jalan Muafakat, malam tadi. 

Yang turut hadir Pengarah Operasi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Menteri Besar; calon BN Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah.

Hishammuddin yang juga mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong berkata, BN akan disamakan seperti segelintir pihak yang hanya menjanjikan pelbagai perkara yang akhirnya tidak dapat ditunaikan jika manifesto itu tidak difahami.

“Kita akan pastikan gerakan di semua Parlimen kita, gerak senada seirama, sebab ini janji kepada rakyat bukannya permainan,” katanya.

Malam tadi, BN melancarkan manifesto PRU15 dengan memberi tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendidikan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN (Padu) menggariskan lima fokus utama dan 99 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat, terutamanya kumpulan B40 dan M40 selain tidak melupakan golongan T20.

Fokus pertama yang diutamakan oleh BN adalah menghapuskan kemiskinan mutlak menerusi Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara automatik setiap bulan kepada semua isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan. –UTUSAN

The post Calon BN perlu teliti, fahami manifesto  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *