SEPANG: Hujan renyai pada sebelah pagi tidak menghalang calon Barisan Nasional (BN), Anuar Basiran bagi menunaikan tanggungjawabnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).

Anak kelahiran Tanjung Sepat di daerah ini dan bertanding buat julung kali di kerusi Parlimen Sepang, mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Laut pada pukul 10.22 pagi.

Beliau yang berbaju Melayu warna biru tua dan berseluar slack tiba di pekarangan sekolah rendah tersebut kira-kira pukul 10.07 pagi sebelum beratur untuk menyemak nombor saluran.

Institusi pendidikan itu terletak dalam Pusat Daerah Mengundi Batu Laut dan memiliki 3,802 pemilih berdaftar dengan enam saluran pengundian diwujudkan Suruhanjaya Pilihan Raya. 

Kerusi Sepang yang merekodkan seramai 168,039 pengundi dengan 53 pusat pengundian dan 285 saluran menyaksikan pertarungan sengit lapan penjuru termasuk dua calon Bebas. 

Anuar yang ditemui pemberita selepas mengundi berkata, beliau gembira kerana keadaan cuaca agak baik dan ramai pengundi dilihat keluar terutama generasi muda berusia 18 tahun. 

Semalam, sebuah pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Dengkil terpaksa dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Dengkil susulan premis itu dilanda banjir semalam.

Pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dengan seramai 1,850 pengundi telah ditutup pada Selasa lalu dan proses pengiraan akan bermula pada pukul 4 petang ini.

Pegawai Pengurus PRU15 P113 Sepang, Datuk Abdul Hamid Hussain yang ditemui Utusan Malaysia menjangkakan keputusan rasmi kemungkinan boleh diumumkan sekitar 9.30 malam.

Ia mengambil kira peti-peti undi dari SK Batu Laut yang merupakan pusat pengundian paling jauh dari Pusat Penjumlahan Undi kerusi berkenaan di Dewan Komuniti Bandar Salak Tinggi.

Jarak antara dua lokasi itu sejauh 48 kilometer dijangka menyaksikan keputusan muktamad lewat diumumkan kerana memakan masa satu jam 15 minit perjalanan biasa dengan berkereta. – UTUSAN

The post Calon BN Sepang mengundi di SK Batu Laut appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *