MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, tiada keperluan calon  Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengisytiharkan harta kerana mereka tidak mempunyai harta yang banyak berbanding calon daripada parti-parti lain.

Katanya, rakyat juga sudah mengenali pemimpin-pemimpin parti itu yang dilantik sebagai calon mereka pada PRU15.

Bagaimanapun, katanya, Pas tidak menghalang pemimpin-pemimpin tersebut sekiranya mahu membuat pengisytiharan harta mereka.

“Harta kita tak banyak, orang (calon) lain sebut juta-juta, kita ratus ribu (ringgit). Tak sampai juta, jadi tak perlu isytihar.

“Memang ada orang kita yang jutawan pun ada tetapi tak terlibat dengan politik, terlibat dengan politik ini, berniaga pun kena sekat macam-macam,” katanya ketika ditemui selepas kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Sebelum ini, PKR meminta calon-calon bertanding dalam PRU15 mengisytiharkan harta mereka.

Abdul Hadi percaya keputusan Pas tidak mewajibkan calon Pas mengisytiharkan harta tidak menjadi isu besar  dan tidak kisah sekiranya dijadikan modal politik untuk berkempen.

“Nampaknya kepada Pas, dia  (parti lawan) tak boleh buat apa kerana orang Pas didapati tiada salah laku. Kita perintah Kelantan, Terengganu, Kedah, tiada seorang pun orang kita yang diheret ke mahkamah dan dibicarakan,” katanya. – UTUSAN

The post Calon Pas tidak perlu isytihar harta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *