KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyimpan hasrat untuk melihat Penampang sebagai bandar raya kedua di sekitar ibu negeri.

Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu berkata, kedudukan Penampang yang berada di pinggir Bandar Raya Kota Kinabalu harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

Beliau berkata, pembangunan yang dimaksudkan bukanlah dari segi bangunan pencakar langit tetapi, ia lebih kepada kemajuan pendigitalan untuk kemudahan orang kampung.

“Kawasan Parlimen Penampang sangat besar dan sebahagian kawasan tidak dapat diakses kerana tiada kemudahan jalan raya berturap malah, ada kawasan tidak mempunyai liputan internet yang baik.

“Justeru, saya mahu membangunkan kawasan ini agar semua kawasan mempunyai liputan internet dan telekomunikasi yang baik,” katanya semasa program ramah mesra di Kampung Timpangoh Laut, Penampang hari ini.

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, selepas pandemik ramai yang kehilangan pekerjaan dan ingin memulakan perniagaan secara digital.

Namun, perniagaan dalam talian (online) tidak dapat dilakukan kerana masalah liputan internet yang lemah.

“Ini akan saya perjuangkan dalam menjadikan Penampang sebuah bandar raya kedua di pantai barat Sabah. Itu adalah wawasan saya dan saya mahu melihat Penampang dibangunkan sebagai daerah yang mampu memberi perkhidmatan perindustrian yang boleh mengangkat potensi ekonomi digital,” katanya.

Mengenai kempen yang sudah hampir memasuki minggu kedua, Ewon berkata, beliau akan bertindak lebih agresif dalam mempergiatkan lagi liputan kempen di lapangan dan media sosial.

“Saya akui persaingan ini cukup sengit kerana dua calon lain merupakan kawan saya dan saya perlu bekerja keras untuk memenangi hati rakyat Penampang dengan menerangkan tentang tawaran PH dan asprasi saya sebagai wakil rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut mencadangkan kepada kerajaan Sabah agar menjadikan hari mengundi pada 19 November itu sebagai cuti berbayar kerana sebahagian kakitangan swasta masih bekerja pada hari Sabtu.

Sekiranya kerajaan dapat mempertimbangkan 19 November itu sebagai cuti berbayar maka, syarikat swasta boleh membenarkan pekerja mereka cuti tanpa perlu potongan gaji.

Jelas beliau, syarikat swasta mungkin boleh melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membenarkan pekerja bercuti agar mereka boleh pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. –UTUSAN

 

The post Calon PH berhasrat jadikan Penampang bandar raya kedua appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *