BERA: Kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjawab segala tuduhan yang dilemparkan pihak lawan.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia juga sebagai bukti bahawa kepemimpinan UMNO padu daripada segi solidariti dan tiada perpecahan di antara dirinya dengan Ahmad Zahid.

“Seperti semua pimpinan UMNO cakap, tujuan mereka (pihak lawan) menamakan orang lain untuk mengelirukan dan memecahbelahkan pemimpin UMNO dan BN.

“Jadi, dengan kenyataan yang dibuat oleh presiden parti komponen, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Presiden MIC, Timbalan Presiden UMNO dan akhirnya semalam Datuk Seri Zahid (Pengerusi BN) menjelaskan segalanya.

“Persepsi yang dicipta pembangkang itu ternyata palsu dan fitnah dan tak lain tak bukan bertujuan memecahbelahkan dan mewujudkan persengketaan dalam UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas Kenduri Kampung Bersama Penduduk Kampung Bohor Baru di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Bohor Baru di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengulangi pendirian Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15, 19 November ini.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, ketika ini pun beliau tidak menjadi Perdana Menteri atau menyandang apa-apa jawatan dalam kerajaan walaupun menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Sebelum ini, kempen pihak lawan iaitu cuba melaga-lagakan Ahmad Zahid dan Ismail Sabri apabila berterusan memainkan isu Pengerusi BN itu akan mengetepikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU15.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, alhamdulillah, solidariti kepemimpinan UMNO kukuh dan tidak terpengaruh dengan persepsi negatif yang cuba dimainkan pihak lawan. –UTUSAN

The post Calon PM: tiada perpecahan di antara Ismail Sabri dengan Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *