KUALA LUMPUR: Tiga pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 50 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM2.4 juta.

Tertuduh termasuk calon parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, 55, yang bertanding kerusi Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Di hadapan Hakim Rozina Ayob, pemilik dan juga pengarah Era Media Sdn. Bhd., Lee Hong Rong, 24, didakwa atas 31 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk memperdayakan Perkeso bagi menuntut Bantuan Mobiliti dan Gaji berjumlah RM1.87 juta.

Menurut pertuduhan, butiran palsu itu terkandung dalam Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja yang dikemukakan kepada kakitangan Perkeso walhal senarai nama dalam dokumen itu tidak menerima bayaran berkenaan.

Di mahkamah sama, Mohd. Ridzuan yang juga pemilik Syarikat PUPA International Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM378,000.

Mohd. Ridzuan dan Hong Rong didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Perkeso di Putrajaya pada 2 Mac 2021 dan 21 Jun 2021.

Sementara itu, di hadapan Hakim Suzana Hussin, Raymond Sim, 35, yang merupakan pemilik syarikat Minbot Sdn. Bhd. dan Fireshot Marketing Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan memberikan borang pengesahan melalui seorang wanita kepada pegawai Perkeso bagi menuntut insentif berjumlah RM153,200.

Raymond didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Perkeso di ibu negara di antara 3 Jun 2021 dan 15 September 2021.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Rozina membenarkan Mohd. Ridzuan dan Hong Rong masing-masing diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport ditahan selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga pelupusan kes serta menetapkan 3 Mac ini untuk sebutan kes.

Raymond pula dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dan syarat tambahan sama dan sebutan ditetapkan pada 28 Februari ini.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin dan Mohamad Mohd Aliff Shaharuzaman manakala peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Mohd. Ridzuan sementara Hong Rong diwakili peguam Lim Chi Chau dan peguam Datuk Joshua Kevin mewakili Raymond. – UTUSAN

The post Calon PRU15 antara didakwa serah dokumen palsu tuntut insentif Perkeso appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *