YOGYAKARTA: Canselor Universiti Gadjah Mada (UGM) tampil mengesahkan sijil ijazah sarjana muda milik Presiden, Joko Widodo (Jokowi) adalah tulen dan bukan palsu seperti didakwa sebelum ini. 

Menurut portal berita Kompas.com, perkara itu disahkan sendiri oleh Canselor UGM, Ova Emilia dalam satu sidang media khas yang diadakan di UGM semalam.

“Berdasarkan data dan maklumat yang telah kami dokumentasikan dengan baik, kami meyakini keaslian dan kesahihan mengenai ijazah dimiliki Jokowi dan beliau sememangnya adalah lulusan fakulti perhutanan UGM,” jelas Ova.

Ova berkata, Jokowi merupakan alumni program pengajian di fakulti perhutanan UGM pada 1980.

“Jokowi diisytiharkan lulus UGM pada 1985, mengikut peruntukan dan bukti kelulusan berdasarkan dokumen yang kita ada,” katanya.

Jokowi disaman di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat berhubung dakwaan mengemukakan ijazah san sijil tamat persekolahan palsu yang digunakan dalam proses pemilihan Presiden dan Wakil Presiden 2019 lalu.

Menurut portal Sistem Informasi Penelusuran Perkara (SIPP) PN Jakarta Pusat, saman difailkan oleh penulis buku Jokowi Under Cover, Bambang Tri Mulyono.

Dalam pada itu, anak sulung Jokowi yang juga Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming Raka menegaskan, tuduhan berkenaan tidak munasabah memandangkan Jokowi telah menyertai pelbagai pilihan raya termasuk pemilihan Datuk Bandar Solo, Gabenor DKI Jakarta hingga pemilihan presiden.

“Jika Datuk Bandar, gabenor, tidak menggunakan ijazah apa yang anda gunakan? tak kan pula guna daun pisang?.Tidak masuk akal untuk berbohong tentang perkara sebegini,” katanya.

The post Canselor UGM sahkan sijil ijazah Jokowi tulen appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *