PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menutup sementara capaian kepada sistem e-Pharmacist bagi memberi ruang kepada pasukan teknikal teknologi komunikasi maklumat (ICT) kementeriannya menilai dan menangani masalah.

KKM menerusi satu kenyataan memaklumkan, insiden gangguan pada capaian sistem tersebut dikesan selepas menerima aduan daripada calon yang memohon.

“Sistem e-Pharmacist digunakan untuk membuat pemilihan penempatan latihan siswazah bagi Pegawai Farmasi Gred UF41 yang mula dibuka pada 19 Januari lalu.

“Sehubungan masalah pada capaian tersebut, KKM mengarahkan tindakan segera diambil bagi mengenal pasti isu gangguan teknikal ini,” katanya hari ini.

KKM berkata, antara isu yang dikenal pasti adalah calon tidak dapat mengakses ke sistem pada waktu yang ditetapkan mengakibatkan individu tersebut lewat serta tidak dapat memilih penempatan latihan siswazah lebih awal.

Jelasnya, capaian ke sistem juga perlahan (lagging) mengakibatkan calon terpaksa menunggu lama untuk melengkapkan proses penempatan selain terdapat isu calon yang berjaya memilih penempatan di suatu fasiliti melebihi had slot latihan siswazah yang ditetapkan.

“KKM difahamkan, ketika ini terdapat seramai 627 calon ditawarkan pelantikan dan perlu memilih penempatan latihan siswazah pada sesi kali ini,” katanya.

Sehubungan itu, KKM membuat keputusan untuk menutup sementara capaian ke sistem berkenaan bagi menangani situasi itu secara berhemah dan berlaku adil kepada semua calon yang memohon.

“KKM akan membuka semula sistem e-Pharmacist pada tarikh baharu iaitu 30 Januari ini (Isnin) pada pukul 12 tengah hari sehingga 1 Februari (Rabu), manakala tarikh melapor diri bagi mengikuti Program Transformasi Minda (PTM) masih dikekalkan pada 13 Februari depan.

“KKM menyeru agar semua calon yang terlibat dapat bersabar dan mengakses semula sistem ini pada tarikh yang ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan yang dilakukan ke atas capaian tersebut mendapati terdapat memo yang dipaparkan memaklumkan bahawa semua calon yang memilih penempatan dan berjaya menjana surat tawaran dan perjanjian kontrak sebelum ini adalah terbatal dan perlu membuat permohonan semula pada tarikh baharu yang telah ditetapkan.- UTUSAN

The post Capaian sistem e-Pharmacist bermasalah ditutup sementara – KKM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *