KAJANG: Seorang jurukimpal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga emas yang mempunyai hubungan sulit dengan isterinya di kawasan tempat letak kenderaan, minggu lepas. 

Mengikut pertuduhan, Chin Ngit Soon, 51, didakwa membunuh Wong Kim Miew, 71, pukul 11.50 malam, 25 November di hadapan kawasan tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh Majistret Syahrul Sazly Md. Sain kerana kesalahan membunuh berada dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Januari ini.

Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki warga emas maut ditikam berhampiran sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn.

Pemeriksaan dan rawatan awal di Hospital Serdang mendapati, mangsa mengalami kecederaan serius akibat tikaman mengenai bahagian paru-paru kanan selain terdapat kesan tikaman benda tajam di paha dan bahu kanan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam laporan tersebut memberitahu punca kejadian dipercayai kerana suspek marah mengenai hubungan intim antara isterinya dengan mangsa.

Ketika kejadian, isteri suspek sedang berdua bersama mangsa di dalam kenderaan di lokasi tersebut.

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital namun sempat memaklumkan kepada pegawai perubatan bahawa dia telah diserang dan ditikam.- UTUSAN

 

The post Cemburu: Jurukimpal didakwa bunuh warga emas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *