PETALING JAYA: Pemuda Pas meminta seorang ‘Presiden parti’ meneliti keadaan diri sendiri sebelum membuat sebarang tuduhan rasuah kepada Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan isu pemberian wang tunai oleh segelintir individu kepada pengundi ketika pilihan raya dengan yang didakwa sebagai sedekah.

Perkara itu diingatkan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu hantaran di Facebook, hari  ini.

AHMAD FADHLI SHAARI

“Sebelum Datuk Seri Presiden menyerang Presiden kami dalam isu rasuah, saya sarankan Datuk Seri membeli cermin, atau gunakan cermin yang ada di kediaman rasmi,” tulisnya.

Biarpun tidak menyebut nama secara jelas, hantaran itu dipercayai ditujukan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ia selepas Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri  meminta Abdul Hadi tidak menukar sesuatu hukum atau fatwa dengan sewenang-wenangnya.

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA pagi ini berkata, tindakan itu boleh menyebabkan golongan tersebut tidak dihormati rakyat dan umat Islam sendiri.

“Kalau dia buat, sedekah. Kalau kita (buat) panggil rasuah. Ulama kena ada integriti sebagai ulama, jangan tukar-tukar fatwa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Ahli Parlimen Marang itu yang mempertahankan pemberian wang tunai oleh segelintir individu kepada pengundi ketika pilihan raya dengan mendakwa ia sebagai sedekah.

Kenyataan Abdul Hadi itu susulan langkah UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi kerusi berkenaan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas. – UTUSAN

The post Cermin diri sebelum serang Presiden kami – Pemuda Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *