PETALING JAYA: Sedekad menyimpan rindu untuk beraksi di Malaysia, bekas vokalis ST12, Charly Van Houten kembali mewarnai kalendar seni dengan konsert 20 Tahun Charly Berkarya yang bakal menggabungkannya semula dengan ST12.

Perjalanan karier mereka sangat lama, malah permulaannya juga penuh liku. Namun, semua itu memberikan pengalaman yang mematangkan mereka. 

Hakikatnya, kata Charly, dia mengambil masa sebelum bersetuju menjayakan konsert berskala besar di sini. Bukan gusar seandainya tiket tidak terjual, tetapi sebenarnya dia takut untuk menaiki pesawat.

“Saya memang takut untuk menaiki pesawat. Di Indonesia, jika ada tawaran persembahan di luar kota, saya akan ambil jalan darat, sementara yang lain melalui udara. Saya memang tidak boleh naik pesawat.

“Sudah lebih 50 tawaran persembahan, termasuk di luar negara seperti Malaysia dan Amerika Syarikat saya tolak. Saya memerlukan kekuatan dan masa yang lama untuk bersetuju. Memang takut.

“Tetapi kali ini, untuk peminat Malaysia, saya kumpul kekuatan dan semangat melawan ketakutan itu. Sudah lama saya tidak ke sini dan peminat pula asyik bertanya,” katanya.

Ditanya apakah punca ketakutan menaiki pesawat, jelas Charly, ia bermula lima tahun lalu apabila dia berdepan kebimbangan melampau dan trauma selepas terlalu kerap menaiki penerbangan.

“Mungkin saya trauma, malah kisah melibatkan kegagalan sistem atau kehilangan pesawat membuatkan saya semakin bimbang untuk terbang.

“Saya tidak lepas pegang tasbih dan berselawat memohon ketenangan jika menaiki pesawat. Saya sangat memerlukan sokongan dan kehadiran isteri, Shinta Regina untuk menemani.

“Alhamdulillah, setakat ini, saya belum terfikir untuk ambil ubat penenang. Cuma, perlu diatur lebih awal sekiranya ada tawaran persembahan di luar kawasan yang memerlukan penerbangan,” kongsinya.

Bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Mac depan, Konsert 20 Tahun Charly Berkarya akan menyaksikan gabungan Charly dan Firman Siagan yang merupakan vokalis baharu ST12.

Malah, penampilan Ezad Lazim dan Jaclyn Victor juga bakal menjanjikan persembahan mengagumkan menerusi konsert yang menghimpunkan lagu popular ST12 daripada tujuh album.

Bercakap mengenai perkara itu, Charly berkata, dia cukup yakin dengan sokongan peminat di Malaysia untuk datang memenuhi ruang lokasi konsert.

“Keyakinan saya sangat tinggi. Kami (pasukan produksi dan penganjur) sudah melakukan kajian pasaran sebelum merancang. Jadi, saya yakin dengan sokongan peminat. 

“Komen peminat di Instagram, Facebook juga menambah keyakinan kami. Malah, tempoh tiga bulan sebelum konsert memberi waktu yang mencukupi untuk kami bersedia dan berlatih,” katanya.

 

The post Charly (ST12) lawan trauma naik pesawat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *