SEOUL: China menegaskan kepentingan untuk Beijing dan Pyongyang meningkatkan komunikasi, kesatuan dan kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk pertahanan.

Penegasan itu disampaikan oleh Presiden China, Xi Jinping kepada pemerintah Korea Utara, Kim Jong-un menerusi satu surat, lapor media kerajaan Korea Utara KCNA.

Surat itu adalah maklum balas kepada ucapan tahniah oleh Jong-un sempena kongres itu yang dijadualkan bermula hari ini, di mana Jinping dijangka menang jawatan Setiausaha Agung Parti Komunis China untuk penggal ketiga, yang juga jawatan paling berkuasa di negara itu.

Menurut laporan KCNA, Jinping dalam suratnya menyatakan kesediaan untuk memperkukuh hubungan antara China dan Korea Utara dan menyumbang pada kebahagiaan rakyat kedua-dua negara, selain mempertahankan keamanan dan kestabilan di rantau itu dan seluruh dunia.

Laporan itu dikeluarkan ketika Korea Utara menjalankan beberapa siri ujian peluru berpandu balistik dan membuat persiapan untuk menyambung semula ujian nuklear buat pertama kali sejak 2017.

Korea Utara menegaskan, aktiviti ketenteraan itu yang turut merangkumi latihan artileri dan penerbangan jet pejuang, adalah sebagai tindak balas pada tindakan Korea Selatan dan Amerika Syarikat mempamerkan kekuatan ketenteraan menerusi latihan ketenteraan tersendiri sebagai protes terhadap ujian dijalankan Korea Utara.

Jumaat lalu, ketika ditanya berhubung aktiviti Korea Utara dan tindak balas Korea Selatan, jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning menggesa semua pihak mengelak daripada menyebabkan situasi terus memuncak dan berusaha mewujudkan suasana yang membolehkan dialog diadakan semula. – REUTERS

The post China mahu jalin hubungan ‘lebih rapat’ dengan Korea Utara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *