ARAU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Mohd. Shukri Ramli sah sebagai Menteri Besar Ke-8 setelah selesai mengangkat sumpah jawatan itu di Balai Menghadap, Istana Arau di sini hari ini.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan tersebut berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, sekitar pukul 4.15 petang.

Yang turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad bersama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang baharu. 

Proses pelantikan Menteri Besar pada kali ini berlangsung dengan lancar dan tidak seperti PRU14 yang menyaksikan krisis bagi pemilihan calon untuk mengisi jawatan berkenaan.

Mohd Shukri, 61, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri dipilih sebagai Menteri Besar selepas PN berjaya membentuk kerajaan di negeri ini buat pertama kalinya dalam sejarah. 

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan PN berjaya meraih 14 kerusi daripada 15 kerusi DUN di Perlis, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya meraih satu kerusi iaitu Indera Kayangan.

Kemenangan tersebut menyaksikan PN berjaya menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN) lebih 60 tahun di negeri ini.

Mohd. Shukri merupakan seorang bekas guru dari 1985 sehingga 2013 dan menjadi pemimpin tempatan yang sangat dihormati berikutan sifat mesranya dan berjiwa rakyat.

Mohd. Shukri yang mesra disapa cikgu Shukri juga merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang sejak tiga penggal.

Dalam pada itu, majlis angkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri pula dijadual berlangsung Jumaat ini. – UTUSAN

 

The post  Cikgu Shukri angkat sumpah MB Perlis Ke-8 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *