SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN telah bersetuju untuk melaksanakan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin 2.0 bagi mengatasi isu kekurangan pekerja asing dialami sektor tertentu.

Majikan kini boleh menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui kelayakan prasyarat penggajian dan kelayakan kuota. Tempoh kelulusan juga dikurangkan kepada kurang tiga hari.

Berdasarkan statistik, jumlah permohonan pekerja asing oleh majikan pada 2022 sahaja berjumlah 1.6 juta orang dengan kelulusan diberikan seramai 676,070 pekerja.

Sehingga 31 Disember lalu, seramai 418,649 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyertai pelan rekalibrasi.

Meskipun langkah terbaharu ini bersifat sementara kerana keadaan luar jangka bagi memenuhi keperluan ekonomi negara, dikhuatiri jumlah pekerja asing meningkat melebihi sebelum pandemik Covid-19 jika kelonggaran penggajian pekerja asing berkuat kuasa untuk satu tempoh yang panjang serta pelan rekalibrasi sentiasa disambung tahun demi tahun.

Langkah terbaharu memberi kebebasan sepenuhnya kepada majikan dalam mengambil pekerja asing menunjukkan ekonomi negara terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing dalam jumlah yang besar dan situasi ini akan berterusan sekiranya hanya pandangan majikan diambil kira.

Usaha untuk memodenkan sektor perindustrian dan perladangan dengan teknologi automasi dan robotik juga akan menjadi perlahan selagi tenaga kerja asing berterusan dilambakkan ke sektor buruh sebagai jalan penyelesaian mudah mengatasi isu kekurangan tenaga kerja.

Walaupun pengambilan pekerja asing mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kerajaan perlu juga mengambil kira kesan sampingan lain ekoran kebanjiran pekerja asing dalam negara terutama kesan langsungnya kepada rakyat.

Rakyat perlu bersaing dengan warga asing dari segi peluang pekerjaan, mendapatkan tempat tinggal serta terpaksa berkongsi kemudahan yang disediakan kerajaan seperti pengangkutan awam dan perubatan.

Isu masalah sosial dan ketenteraman awam juga tidak dapat dielakkan kerana ramai pekerja asing didapati tinggal di penempatan yang sama dengan rakyat Malaysia seperti taman perumahan.

Tidak lupa juga kesan persaingan ekonomi kerana sudah banyak dilaporkan oleh pihak media mengenai kes pekerja asing didapati menyalahgunakan pas kerja untuk menjalankan perniagaan sendiri.

Sila belajar dari negara-negara Asia Barat yang sangat tegas dalam aspek pengurusan warga asing.

Sebagai jaminan kelonggaran penggajian pekerja asing tidak akan menjejaskan peluang kerja buat rakyat tempatan, kerajaan perlu menetapkan sektor tertentu yang tidak boleh diisi oleh pekerja asing.

Sebagai contoh, sektor restoran makanan segera dan jawatan barisan hadapan seperti juruwang di stesen minyak dan kedai serbaneka.

Kuota pekerja asing dalam sektor kawalan keselamatan perlu dikurangkan secara beransur-ansur dan kebenaran untuk mengambil warga asing selain dari Nepal sebagai pengawal keselamatan juga perlu dikaji semula kerana masih ramai rakyat tempatan berminat bekerja dalam sektor ini asalkan imbuhan diterima setimpal dengan risiko pekerjaan.

Akhir sekali, kerajaan diharap menamatkan dasar kelonggaran penggajian pekerja asing setelah didapati jumlah mereka telah mencapai paras 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan data menunjukkan ekonomi negara beransur pulih. – UTUSAN

M. FAISAL, Kuala Lumpur

The post Contohi ketegasan Pak Arab layan pekerja asing appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *