SAUDARA PENGARANG,

SASARAN Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) tahun ini ialah untuk memastikan Perjanjian Paris 2015 (COP21) dapat dipraktikkan sepenuhnya. Ia juga bakal digelar Buku Panduan Paris melalui aku janji yang bakal ditandatangani oleh negara-negara terlibat.

Menurut Setiausaha Agung badan dunia itu, Antonio Guterres, persidangan kali ini akan menjadi ‘ujian litmus’ pertama untuk menilai betapa seriusnya dunia melihat ancaman perubahan iklim.

Tidak dinafikan persidangan ini adalah pentas utama dunia untuk perbincangan terhadap tindakan iklim tetapi ia tidak seharusnya hanya dipelopori negara-negara kuasa besar yang kaya dan mengenepikan perihal serta pandangan negara-negara membangun.

Satu lagi implikasi besar dijangka ialah komitmen untuk penghapusan subsidi bahan api fosil. Negara kita antara yang memberikan subsidi bahan api fosil signifikan untuk kesejahteraan rakyat dan sekiranya ia perlu dikurangkan, kosnya sudah pasti berpindah kepada 32 juta kenderaan bermotor berdaftar.

Ini belum lagi mengambil kira kesan rantaian terhadap keseluruhan ekosistem ekonomi terutama harga bahan mentah, makanan dan perkhidmatan perlu.

Namun begitu, dari sudut positif, Malaysia mempunyai peluang besar untuk memanfaatkan ekonomi terhadap persetujuan negara-negara dalam urus niaga perdagangan kredit karbon antarabangsa dalam persidangan ini.

Dengan memahami selok-belok mekanisme perdagangan karbon dan strategi yang kemas, Malaysia yang kaya dengan kaedah penyelesaian berasaskan alam semula jadi untuk mengatasi perubahan iklim dijangka dapat menawarkan kredit karbon kepada negara-negara memerlukan. Jika perkembangan ini diikuti dengan teliti dan disertai dengan kepakaran yang bersesuaian, Malaysia berpotensi tinggi untuk menjadi hab perdagangan karbon di rantau ini.-UTUSAN

PROFESOR. MADYA DR. ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES
Universiti Malaya

The post COP27: Ada apa untuk Malaysia? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *