DOHA: Croatia memulakan kempen Kumpulan F Piala Dunia menentang Maghribi hari ini dengan keyakinan tinggi bersandarkan kemenangan lima perlawanan terakhir dan hanya tewas sekali dalam tempoh 16 bulan.

Naib juara 2018 itu akan diketuai bintang tengah Real Madrid, Luka Modric dan skuad itu tidak diletakkan harapan tinggi, malah bukan pasukan pilihan untuk menjulang trofi tahun ini khususnya dalam kalangan kaki ‘bookie’.

“Setiap kali beraksi di Piala Dunia, ia sentiasa sukar buat kami dan tidak meletakkan kami sebagai pasukan pilihan adalah perkara baik.

“Kami tidak berdepan tekanan yang begitu besar disebabkan kami melakukan sesuatu yang menakjubkan di Russia tetapi kami masih berharap mampu mencapai lebih banyak kejayaan,” kata penyerang, Andrej Kramaric.

Berdasarkan prestasi semasa skuad kendalian Zlatko Dalic, tidak mustahil Croatia mampu melakukan kejutan di Qatar sepertimana di Russia.

Croatia menjuarai saingan kumpulan kelayakan dengan hanya melepaskan empat gol selain tewas sekali saja kepada Slovenia pada Mac 2021.

Bagaimanapun, Croatia kali ini turun tanpa beberapa pemain utama skuad 2018 antaranya penyerang Mario Mandzukic dan pemain tengah Ivan Rakitic.

Modric yang turut beraksi pada 2018 bakal membentuk jentera tengah bersama Marcelo Brozovic dari Inter Milan dan Mateo Kovacic dari Chelsea.- AGENSI/UTUSAN

The post Croatia turun dengan rekod bersih appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *