LONDON: Seorang wanita disiasat pihak berkuasa selepas cuba mendapatkan ‘makanan percuma’ di sebuah restoran dengan mencemarkan makanan dipesan menggunakan plastik kotak rokok yang disembunyikan di dalam pakaian dalamnya.

Menurut Daily Mail, wanita itu cuba menipu untuk mengelak daripada membayar lebih lapan set hidangan termasuk ayam tandoori dan kambing bakar yang dipesan berharga lebih 170 pound (RM905.23).

Pemilik restoran, Naseem Khan, 44, berkata, lima sekeluarga itu telah menghabiskan makanan mereka di restoran Namji yang terkenal dengan masakan kari di Milton Keynes Isnin lalu.

Tetapi apabila bil tiba, mereka membuat kecoh dan memarahi pelayan kononnya terdapat plastik di dalam makanan mereka sebelum terus keluar dari restoran itu tanpa membayar walaupun ditawarkan diskaun 20 peratus.

“Mereka hanya mengadu dan mengugut selepas menghabiskan semua makanan tanpa sisa. Amat memalukan melakukan perbuatan terkutuk ini di hadapan anak-anak kecil.

“Jika dia ada masalah kewangan dia boleh beritahu saya dan saya akan memberinya makanan secara percuma tetapi dia tidak perlu berbuat demikian,” katanya.

Naseem berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung kes itu selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya yang jelas merakam perbuatan wanita itu.

Wanita itu dilihat melihat sekeliling sebelum mengeluarkan kotak rokok dari baju dalamnya dan mengoyakkan cebisan plastik pembalut kotak itu dan meletakkannya di dalam pinggan sebelum menyambung menikmati hidangan di pinggan sama.

Naseem yang digelar ‘Ratu Kari’ di Milton Keynes sering terlibat dalam acara amal dan pernah menyediakan lebih 250 pek makanan kepada gelandangan setiap minggu ketika pandemik Covid-19.

The post Dakwa kononnya makanan dihidang kotor, rupanya taktik mahu makan percuma appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *