KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak dakwaan Datuk Seri Bung Moktar bahwa Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai hak sebagai Ketua Menteri Sabah.

Dakwaan yang dinyatakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu adalah tidak berasas.

Demikian kata Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan

Beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah, Hajiji adalah Ketua Menteri Sabah yang sah dan beliau mengangkat sumpah mengikut undang-undang setelah menerima mandat rakyat Sabah.

Pada masa ini, Hajiji dan semua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah keluar daripada parti pada 10 Disember lalu adalah ahli langsung GRS.

GRS masih mempunyai majoriti yang mencukupi dan merupakan parti terbesar dalam DUN Sabah.

“Kenyataan ini bagi menjawab kenyataan Bung Mohktar Radin yang cuba menimbulkan keraguan dan kekeliruan terhadap kesahihan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah mengikut Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Perkara 6(7) berbunyi iaitu ‘Bagi maksud Fasal (3) Perkara ini, iaitu parti politik yang telah memenangi majoriti kerusi DUN yang dipilih dalam pilihan raya umum, ketua parti politik itu, yang merupakan ADUN hendaklah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan’.

“Dalam Perkara 6(3) Perlembagaan pula menyatakan selepas Pilihan Raya Umum Negeri, Yang Dipertua Negeri akan memilih seorang ahli Dewan yang difikirkannya akan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan

“Mengikut Perkara 6(7), apabila parti politik memenangi majoriti kerusi dalam Dewan, pemimpin parti itu dianggap menguasai majoriti,” katanya.

Masidi, yang juga ADUN Karanaan berkata, majoriti yang dimaksudkan dalam Perkara 6(7) bermakna lebih daripada 50 peratus kerusi dalam DUN.

Walau bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, tiada parti tunggal yang memenangi 50 peratus daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Beliau juga mengingatkan pihak tertentu agar menghormati asas Perlembagaan Sabah agar Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin tidak dibabitkan dalam pergolakan politik, pertikaian atau perebutan kuasa yang berlaku.

Justeru, beliau berharap pemimpin parti politik menunjukkan rasa hormat kepada Yang Dipertua Negeri. Perbuatan membawa perakuan bersumpah (SD) ke Istana Negeri Sabah sebagai bukti memperoleh sokongan ADUN tidak seharusnya menjadi amalan.-UTUSAN

The post Dakwaan Bung Moktar tidak berasas, Hajiji masih sah Ketua Menteri-GRS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *