IPOH: Dakwaan sebuah portal berita kononnya ada pesakit terpaksa pulang tanpa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, pihak hospital sama sekali tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian malah setiap pesakit akan diberi rawatan sewajarnya berdasarkan tahap kecederaan mahupun kesihatan masing-masing.

“Tidak pernah kita meminta mana-mana pesakit balik tanpa rawatan. Setiap pesakit yang datang ke hospital kerajaan tetap menerima rawatan dan ubat yang mutunya sama dengan hospital swasta.

“Jika berlaku kecemasan libatkan 40 orang dan dalam masa sama ED (jabatan kecemasan) penuh, adakah kita nak hantar mereka balik.

“Tidak, kita tetap kena beri rawatan yang sepatutnya kepada semua pesakit, tiada siapa yang dinafikan untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB di sini hari ini.

Terdahulu, portal berita itu dalam laporannya mendakwa terdapat pesakit yang bukan dalam kategori pesakit Covid-19 terpaksa menunggu sehingga ke enam hari bagi mendapatkan katil rawatan di jabatan berkenaan.

Menurut Sivanesan, setakat ini HRPB tidak berdepan dengan masalah kesesakan pesakit yang melampau meskipun berlaku peningkatan jumlah kehadiran pesakit kritikal.

“Ikut rekod, kehadiran pesakit harian di hospital ini adalah berkurangan, tetapi pesakit kritikal meningkat.

“Begitupun kita masih berikan perkhidmatan rawatan kepada pesakit-pesakit kritikal ini sebelum dirujuk kepada jabatan lain,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, kerajaan negeri berharap Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi keutamaan menyalurkan peruntukan kepada projek menaik taraf dan memperluaskan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

Katanya, peruntukan itu dilihat mampu menyelesaikan sebahagian besar masalah dan kekangan dihadapi jabatan berkenaan terutama berkaitan kelengkapan peralatan dan perubatan.

“Dalam lawatan menteri (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) April lalu, HRPB telah kemukakan sejumlah RM6.5 juta bagi bajet tahun hadapan.

“Jika kita dapat bajet ini, sebahagian besar masalah yang dihadapi di ED akan dapat diatasi dan diselesaikan. Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa juga telah beri komitmen untuk bantu selesaikan masalah ini,” katanya. – UTUSAN

The post Dakwaan pesakit pulang tanpa rawatan tidak benar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *