SAUDARA PENGARANG,

DALAM kehangatan berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, satu daripada perkara kerap didengar ialah berkaitan pendedahan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Sudah pasti pendedahan ini melibatkan calon atau parti yang bertanding dalam PRU15 khususnya ketika mereka berceramah di atas pentas politik.

Itu belum lagi di media sosial, pelbagai gambar dan video individu memberi dan menerima duit berlegar-legar di TikTok walaupun kita pun tidak dapat memastikan kesahihannya sebagai satu kesalahan rasuah atau tidak.

Dari satu sudut pandang, perkara ini merupakan perkara yang positif kerana ia menggambarkan masyarakat peka dengan isu rasuah. Namun, pendedahan tersebut perlu mempunyai asas dan bukti berkualiti agar memudahkan siasatan dijalankan.

Perkara utama sekali, ia perlu melalui saluran yang betul iaitu terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan menghebahkan ketika berceramah atau menggunakan platform media sosial sahaja.

Ini kerana SPRM sendiri telah melancarkan bilik gerakan di seluruh negara bagi orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku pada PRU15.

SPRM dalam kenyataannya menyebut, semua bilik gerakan beroperasi 24 jam mulai 5 hingga 19 November lalu dan boleh dihubungi menerusi talian Ibu Pejabat SPRM serta pejabat negeri.

Selain itu , orang ramai juga boleh hadir sendiri ke pejabat SPRM atau menghubungi mereka menerusi e-mel. Pendek kata, pelbagai saluran telah disediakan untuk kita membuat laporan.

Jadi, tidak adil jika kita hanya membuat dakwaan secara umum tanpa bukti berkualiti dan menghebahkannya ke serata alam dan akhirnya menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak bertindak. – UTUSAN

TARMIZIE CHE ANUAR, Cheras, Kuala Lumpur

The post Dakwaan rasuah jangan sekadar melalui TikTok appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *