SEREMBAN: DAP akan mengumumkan senarai calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) minggu depan.

Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook berkata, pengumuman calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada parti itu dijangka diadakan secara berperingkat mengikut kawasan dan negeri.

“Jumlah kerusi yang akan diagihkan kepada setiap parti dalam Pakatan Harapan (PH) akan diumumkan pada 20 Oktober ini tetapi pengumuman calon itu terpulang kepada parti masing-masing.

“Pengumuman calon (DAP) secara berfasa, mengikut negeri dan kawasan bermula pada minggu hadapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Parlimen Seremban bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, Lobak dan Temiang di sini semalam.

Siew Fook dalam pada itu menambah, sama ada DAP akan menampilkan muka baharu atau mengekalkan muka-muka lama sebagai calon masih belum lagi dimuktamadkan.

“Negeri-negeri telah menyerahkan nama calon yang disyorkan mereka, kami akan berbincang dan memuktamadkan dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya. – UTUSAN

The post DAP umum calon minggu depan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *