SELEPAS berjaya menawan Perlis dengan cukup bergaya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Menteri Besar baharu, Mohd. Shukri Ramli bakal memikul tanggungjawab cukup besar dalam memimpin negeri ini buat kali pertama selepas lebih 60 tahun di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mohd. Shukri,61, juga Pesuruhjaya Pas negeri yang sebelum ini merupakan seorang guru dari 1985 sehingga 2013 merupakan seorang pemimpin yang sangat dihormati berikutan sifatnya mesra dan berjiwa rakyat yang turut mencipta sejarah baharu sebagai Menteri Besar pertama dari Pas di Perlis.

Kerajaan PN negeri selepas ini pastinya bakal menjadi tumpuan dan sudah tentunya mengalas tanggungjawab dan amanah cukup besar dalam mentadbir negeri ini buat kali pertama.

Bagaimanapun, wakil-wakil rakyat PN yang bakal dilantik sebagai exco selepas ini perlu cepat belajar dan segera menyesuaikan diri dalam pentadbiran untuk membawa negeri ini ke tahap jauh lebih baik iaitu sesuatu yang cukup diinginkan oleh rakyat yang memberi kepercayaan kepada PN.

Mohd. Shukri yang merupakan lulusan Institut Perguruan Rajang, Sarawak itu sebelum ini memberi jaminan akan berusaha membawa kepimpinan bersih dan stabil, seperti yang terkandung di dalam manifesto PN dan perkara ini menjadi impian seluruh rakyat negeri ini yang berani melakukan perubahan di Perlis.

Kejayaan PN memerintah negeri juga bakal membawa Perlis ke satu era baharu selepas sekian lama berada di bawah pentabdiran BN

Selepas ini, kerajaan PN negeri sudah pastinya akan memberi tumpuan melaksanakan 10 teras tawaran manisfestonya antaranya seperti mengubah status ekonomi negeri, menawarkan kerajaan negeri yang bersih, cekap dan stabil, menaik taraf pekan-pekan kecil, memperkukuh ekonomi bumiputera, menjadikan Perlis mesra anak muda dan menyediakan prasarana bagi golongan wanita.

Antara tawaran lain adalah menambah baik kemudahan asas, negeri yang bebas berniaga, program kebajikan kediaman dan antara yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat di negeri iaitu mengembalikan kegemilangan bola sepak Perlis yang sekian lama tenggelam.

Dalam pada itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang juga merupakan tokoh yang cukup lama berjuang dalam Pas di negeri ini turut menitipkan pesanan kepada Mohd. Shukri dan wakil-wakil rakyat dari Pas khususnya supaya memikul tanggungjawab dan amanah dengan sebaik-sebaiknya.

Kata Hashim, kejayaan Pas dan PN memerintah negeri ini buat pertama kali selepas lebih 60 tahun dikuasai BN adalah kehendak dan pertolongan daripada Allah SWT.

Keputusan PRU15 Sabtu lalu, menyaksikan PN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga setelah mengusai 14 daripada 15 kerusi DUN sekali gus menamatkan penguasaan lebih 60 tahun BN di Perlis.

Malah, PN juga menyapu bersih kesemua tiga kerusi Parlimen di negeri ini. –UTUSAN

The post Daripada guru ke kerusi Menteri Besar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *