JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergelar Datuk ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM11,000 kepada sebuah jabatan kerajaan, dua tahun lalu.
Individu tersebut sebelum ini pernah bertanding semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac tahun lalu atas tiket sebuah parti politik tempatan. Turut ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan ialah bekas bendahari NGO sama.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.
Kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.20 pagi dengan berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari.
Datuk berusia 47 tahun serta bekas bendahari berusia 43 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor antara pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam tadi selepas mereka hadir memberi keterangan.
Kedua-dua suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan di daerah ini pada penghujung Januari 2021 berkaitan kerja-kerja pembekalan dalam melaksanakan program rawatan dan pemulihan, sedangkan kerja pembekalan itu tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN
The post Datuk, bekas bendahari NGO direman 7 hari appeared first on Utusan Malaysia.