PETALING JAYA: Berdepan persaingan dengan kemunculan banyak artis berkumpulan baharu, De Fam yakin mereka masih diingati peminat, meskipun setiap anggotanya lebih memberi fokus kepada kerjaya solo.

Kumpulan yang terdiri daripada Azira Shafinaz, Sophia Liana dan Cik Manggis itu masih bersatu untuk membentuk jenama unggul, meskipun masing-masing sibuk dengan projek solo.

Azira berkata, sudah menjadi prinsip mereka untuk tidak muncul dengan lagu baharu jika belum menemui material yang bersesuaian diterbitkan.

“Kami tidak rasa De Fam dilupakan walaupun banyak persaingan dalam industri muzik. De Fam masih keluarkan single baharu, Berubah yang mengetengahkan genre balada.

“Kali ini, kami cuba benda baharu dan mencari kelainan dalam muzik.  Secara jujur, kami ambil masa sangat lama untuk hasilkan sesebuah lagu.

“Banyak perkara perlu difikirkan, terutama tentang konsep lagu. Jika belum lengkap, kami tidak akan keluarkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran drama siri romantik komedi, Ijab Kabut, tengah hari tadi.

Drama siaran platform Viu itu menampilkan Azira, melakonkan watak utama sebagai Diana iaitu  penerbit muzik bercita-cita tinggi dan kompetitif yang mahu merealisasikan majlis perkahwinan yang sempurna.

Selain Azira, drama dua episod yang disiarkan setiap Khamis, mulai esok itu turut menampilkan Fadlan Hazim dan Iedil Dzuhrie Alaudin sebagai pelakon utama.

Mengulas pembabitannya dalam drama tersebut, Azira berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mencuba watak  berbeza kerana inginkan kelainan sebagai pelakon.

Namun, cabarannya adalah untuk memastikan penonton dapat menghayati watak yang cuba ditampilkan dalam Ijab Kabut.

“Cerita ini sarat dengan semangat setiakawan, elemen sedih dan banyak plot twist yang akan membuat penonton terhibur,” katanya.

The post De Fam belum tenggelam – Azira Shafinaz appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *